Thursday, July 9, 2009

Hasil 3 – ‘Palestin’ Asia Tenggara

dari Darul Ummah ke Narathiwat
ziarah ke selatan Thailand pada 10 – 12 Rejab 1430


Kami berangkat pula ke Naratiwat. Perjalanan yang sangat jauh. Sangat jauh dan sesak pula, kerana penumpang yang berlebihan sehingga salah seorang dari kami diserang kekejangan kaki.

Dan entah berapa puluh pos kawalan tentera yang kami terpaksa lalu.

Disalah sebuah pos, kami diperiksa. Kami disuruh keluar dari kereta dan menunjukkan passport masing-masing. Malah isi gambar dalam kamera juga diperiksa.

Beberapa orang tentera datang mendekat sebagai langkah berjaga-jaga. Gerun juga melihat M-16 yang disandang mereka. Dengan tampang yang serius, tiada tanda-tanda mereka mahu bermesra walau dengan ‘pelancong’ seperti kami.

Kami kemudian diminta berbaris lalu dirakam gambar satu persatu. Alhamdulillah, selepas itu kami dibenarkan meneruskan perjalanan.

Kami berhenti disuatu tempat, sebelum seorang muslimat berjubah dan berpurdah hitam datang dengan motosikalnya. Seperti yang dijanjikan, dia menunjukkan jalan ke Masjid al-Furqan, tempat dimana berlakunya tragedi berdarah itu. Dengar kata dia seorang guru matapelajaran Bahasa English.

Syukur, kami sampai ke Kampung Air Tempayan setengah jam kemudian. Penduduk kampung menyambut dengan sangat ramah.

Namun kami tidak mampu seramah mereka. Kerana masjid itu sekarang tersergam dihadapan kami. Tentu saja kami terus terbayang-bayang peristiwa yang kejam itu. Orang-orang bersenjata. Das-das tembakan. Tubuh-tubuh yang tumbang. Darah yang bersimbah.

Kejam. Sangat kejam.

Majlis kecil diadakan. Ustaz Kamaruddin memberi tazkirah kepada para balu syuhada’. Sungguh tiada roma kesedihan diwajah mereka. Malah mereka seolah-olah bangga, mampu tersenyum.

Tapi tidak bagi anak-anak yang kini bergelar yatim. 5 orang semuanya. Kami cuba menceriakan mereka. Namun sepertinya tiada apa lagi yang mampu membuatkan mereka riang seperti dulu.

Apa sebenarnya yang berlaku ?

“Berlaku pada 8 Jun, jam 7.50 malam.” Jawab Ustaz Abdul Khadir bin Abdullah. “Tembakan pertama yang mengena salah seorang jemaah adalah selepas sujud kedua rakaat pertama, iaitu sewaktu hendak bangun untuk rakaat kedua..” Khatib masjid tersebut dapat menyebut satu persatu dengan lancar.

Suatu fakta yang dia tak dapat lupa sampai bila-bila.

“Sebelum tembakan mengena para jemaah, tembakan dilepaskn dahulu melalui tingkap bahagian mihrab. Seolah-olah tu tembakan amaran.”

Tingkap itu tinggi. Jadi tidak mengenai sesiapa.

“Namun tak ada jemaah yang berganjak dari solat. Sehinggalah pembunuh-pembunuh tu pergi kebelakang jemaah dan.......” Khatib itu tidak meneruskan kata-katanya, berharap kami faham.

“Jadi semua jenazah hanya terdapat kesan tembakan dibahagian belakang badan dan belakang kepala.. Dan alhamdulillah, kebetulan pada malam itu tiada jemaah wanita dan kanak-kanak, tidak seperti biasanya..”

Sebab berlaku pembunuhan ni ?

Dia tersenyum tawar, tanda tidak pasti. “Tapi sehari sebelum tu, ada orang Siam kena bunuh. Tak jauh dari sini, lebih kurang 15 batu. Jadi ni mungkin kerana nak balas dendam.”

Eh, sehari selepas kejadian pula, ada seorang sami Budha kena tembak.

Mungkin ini suatu usaha untuk mempelagakan masyarakat Islam dan Siam, pendapat seorang sahabat.

Siapa yang buat ?

“Tentera Siam,” jawab Ustaz Abdul Khadir, pasti, tapi suaranya menjadi perlahan, bimbangkan sesuatu. Matanya pula sedikit terbuka lebih luas.

Bagaimana dengan peluru ?

“Peluru yang biasa digunakan tentera dan pasukan Rela, jenis untuk M-16 dan senapang patah – peluru tabur..”

Dan rupa-rupanya kami adalah rombongan dari Malaysia yang keempat, beritahunya bila ditanya tentang bantuan yang sudah diterima.

“Kerajaan Thai beri 200000 bat pada isteri Wan Abdullah, imam masjid.. 500000 bat pada isteri Shori, Penolong Penghulu.. 500000 bat pada isteri Yusri, guru..”

RM 1 sama dengan 10 bat.

* “Ini cerita pasal gambar-gambar orang yang kena tembak waktu tengah sembahyang, yang abang pernah tunjuk tu, ke bang ?” tanya Faiz.

“Pasal apa depa kena bunuh, bang ?” tanya Alif pula.

“Kan abang dah cerita hari tu..” Fitri mengingatkan.

“Tak pa, mai aku cerita pula,” tawar Ismail.


* Insya Allah, gambar-gambar ziarah di Masjid al-Furqan dan nama-nama para syuhada’ akan dipos besok.

No comments: