Thursday, July 16, 2009

Wahyu buat Lebah

“Abang ! Abang !”

Beberapa anggota Laskar Bintang memanggil sewaktu kaki ini baru saja ingin melangkah keluar rumah. Nawaitu ingin mencari lauk untuk makan tengahari dan malam para laskar.

“Tolong belikan madu,” pinta mereka, sambil menghulurkan wang, rata-rata not berwarna merah.

Madu ?

“Saya nak bawak balik untuk mak nanti,” ujar Fadhli, 8.

“Saya nak minum – nak bagi segar otak, bagi saya jadi rajin waktu belajar,” aku Najmi, 13, tersengih seperti biasa.

“Ustaz Omar kata saya kena minum banyak madu, nak bagi cepat ingat apa yang dia ajar,” kata Syafiq, 12.

“Rasa dia sedap,bang..” ujar Redwan pula, 12.

“Saya suka minum sebab nabi pun minum..” Ismail, 15, tersenyum.

Para laskar kemudian diajak mengambil mushaf seorang satu. Surah an-Nahl, ayat 68 dan 69.

Dan telah memberi wahyu oleh Tuhanmu kepada lebah : buatlah sarang-sarang dibukit-bukit, pohon-pohon dan dimana mereka tinggal.
Kemudian makanlah dari tiap-tiap buah-buahan dan tempuhlah jalan tuhanmu yang telah dimudahkan. Keluar dari perutnya minuman yang pelbagai warna. Didalamnya terdapat ubat yang boleh menyembuhkan manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda bagi mereka yang berfikir.


“Wahyu tu apa bang ?” tanya Rafiq.

“Warna madu ada kuning, oren dan hitam,” beritahu Zakwan.

“Madu boleh ubat sakit darah tinggi tak, bang ?” tanya Najmi.

“Abang, kalau kita tak kacau lebah tu, dia bagi kat kita madu kan , bang ?” Ahmad ingin tahu.

No comments: