Tuesday, July 28, 2009

Ya Allah, peliharalah ukhuwah kami

Seorang junior bergaduh dengan seorang senior. Itu yang berlaku beberapa hari yang lalu, sebelah petang.

Sepak terajang. Cekik-cekik. Dan hasil : tangisan dan lebam. Ia bermula dari gurau-gurau, kemudian ejek-mengejek, kemudian...

Pasti ini hasutan syaitan.

Sang guru terkejut. Ini sesuatu yang baru dan asing dikalangan Laskar Bintang.

Sedih sangat. Hati bagai disiat-siat.

Kaku tak terkata apa-apa. Bingung mahu menghukum bagaimana.

Sebagai saksi, Faiz menceritakan dengan bersunguh-sungguh apa yang terjadi, tapi kata-katanya bagai masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Lansung tak dapat beri perhatian kerana hati sedang sangat sedih.

Apakah sang guru tersalah mendidik ? Dimana kurangnya ? Bukan saja mereka sudah sering diajar tentang persaudaraan, bahkan baru pagi hari itu saja mereka dibacakan banyak sabdaan Rasulullah saw tentang persaudaraan didalam Islam.

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah .” (HR Ahmad)

Janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling dengki-mendengki. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari.
(Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasa’i)

“Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu.” (HR Muslim)

Demikian tiga diantara sepuluh hadis yang dibaca kepada mereka. Dirujuk dari buku ‘Apa maksud aku menganut Islam’ oleh Ustaz Fathi Yakan, halaman belakang sekali.

Terasa seperti pentingkan diri sendiri apabila hati sang guru berharap mereka ‘tidak bergaduh’ kerana mahu menghargai dan menghormati guru yang penat mengurus mereka siang dan malam.

Biarlah mereka ‘tidak bergaduh’ hanya kerana patuh kepada Rasulullah saw, bukan kerana yang lain, supaya peribadi mereka benar-benar teguh sebagai Muslim sejati.

Namun hingga kesaat tulisan ini di‘post’ pun, sang guru terus terdiam kerana masih terkejut. Tidak mahu bercakap dengan sesiapapun sejak kelmarin petang. Para laskar kehairanan, ‘sombongkah abang kami ni?’

Tiba nasihat beberapa orang sahabat :

“Ana simpati dengan enta.. Enta jangan diamkan diri, cuba berbicara dengan depa secara berhikmah.. Insya Allah depa takkan ulangi perangai tu lagi.. tapi enta jangan pukul depa.. Depa tu anak yatim, kalau kita tak menyayangi depa, siapa lagi ? Enta tegur depa dengan cara yang tegas..”

“La tahza ya akhi.. Mereka dalam proses membesar, gaduh bercakaran itu fitrah dalam proses pembelajaran mereka.. Cuma perlu pengawasan supaya tak melarat.. mereka akan tau akibat jika bergaduh sesame mereka, dan dengan itu juga mereka saling mengenali mereka antara mereka.. mereka sangat mudah dibentuk, tapi tak mengapa, mungkin jiwa kanak-kanak mereka masih mencari keseronokan hidup..”

“Laa ilaaha ilallah, anak-anak memang macam tu.. proses mereka membesar dan belajar.. kita tak boleh harap anak-anak umur macam tu duduk diam sahaja. Tugas kita menasihatkan bahawa apa yang dia buat salah, cara yang betul begini, begini, begini.. Insya Allah, mereka akan faham.”

“Enta jangan risau lah.. nama pun laskar-laskar, pak.. gak boleh duduk senyap, terus-terus main, gaduh-gaduh, normal aja itu semua..”

Jazakumullahukhoiron :-)

“Memukul bahagian muka adalah haram walau seorang ayah mahu mendidik anaknya, apalagi dalam pergaduhan diantara kamu,” Ustaz Ahmad menegur para laskar. “Adakah kita benar-benar beriman kalau kita bergaduh ?”

“Ustaz, saya lapar,” adu Ahmad tiba-tiba, dek sesi nasihat yang agak panjang. Suaranya begitu manja.

Kami tersenyum-senyum geli hati melihat gelagatnya yang selamba dan berterus-terang, walhal suasana ketika itu sedang serius.

“Baik, sebelum kita pergi makan, ustaz nak yang bergaduh tu saling bermaafan sekarang..”

Alhamdulillah. Mereka bersalaman dan berpelukan. Semoga ikhlas.

Ya Allah, peliharalah ukhuwah mereka. aku mohon dengan sangat...

1 comment:

mazuin said...

sabar ya..