Saturday, May 23, 2009

Dairi 27 Jamadil awal 1430





Pagi itu, selesai dari zikir selepas solat, anak-anak diminta mengumpul sarung bantal, cadar dan selimut untuk dicuci.

Setelah itu mereka diberi kebebasan untuk berbuat apa saja. Maka sebahagian menawarkan bantuan didapur, sebahagian lagi berebut-rebut buku di perputakaan mini.

Ustaz Omar meminta anak-anak membaca buku-buku tentang tokoh-tokoh Islam. Dia berharap anak-anak ini bersedia kalau-kalau Ummi nanti akan bertanya mengenai sirah.
Ummi pun pernah menyebut, pembentukan akhlak para Laskar kita haruslah dengan mencontohi para tokoh Islam, melalui pembacaan sejarah. Kita tak mahu mereka berakhlak mulia dihadapan kita kerana disuruh begitu. Perlu ada kesedaran sendiri.
Walaubagaimanapun, hikmah adalah milik umat Islam, kutiplah dari mana saja ia tercicir, walau dari yang bukan Islam.

Syafiq dipanggil untuk mengasingkan buku-buku cerita Islam, cerita dongeng, dan buku-buku akademik. Ketika buku-buku dipunggah, ditemui buku teks Matematik Tahun 6. Apa yang menggembirakan ia dalam Bahasa Ibunda kita.
Lalu 5 orang anak yang sudah pandai-pandai diajar tentang unit ukuran (km, m, cm, mm).
2 orang meminta diajar matematik tahun 1 dan 4.
5 orang mewarna dan 2 orang membaca buku umum.
Sakinya membantu didapur.
Laskar Bintang memang tak reti duduk diam.

Jam 10.30 pagi, Ustaz mengarahkan anak-anak untuk tidur. Bangun jam 12.00 tengahari.

Setelah solat Jumaat, kami berhenti disebuah kedai runcit berhampiran masjid. Anak-anak ‘dilatih’ untuk ‘bermuamalah’ disana. Apa yang Laskar Bintang beli hanyalah alat tulis, tiada yang mempedulikan makanan ringan. Sebahagian lagi membeli air soya yang dijual digerai hadapan kedai itu.

Jam 2.30 petang Pahlawan-pahlawan IPTB tiba seperti yang dijanjikan. (sister IPTB lebih mahir buat laporan program seperti ini :-) Apa yang pasti para Laskar Bintang gembira dan mereka sangat bertuah.

Haji Ibrahim menderma beberapa perabot dan pakaian.

Ismail dan adiknya Najmi dibawa jalan-jalan oleh ayah mereka.

Setelah solat Maghrib, Ustaz Omar pergi berjumpa gurunya, individu yang mengajar hadis kepadanya di Mekah.

Anak-anak pula, selepas Maghrib itu, mereka ‘bertukar rupa’. Mereka menyerbu sang guru bertanyakan soalan-soalan matematik dari beberapa helai kertas putih. Bersemangat seolah-olah besok akan kiamat. Keadaan ditenangkan dan jawampan cuba diberi satu persatu. Memang penat tapi nikmat. Anak-anak yang berapi mata mereka ialah Rafiq, Amer dan Ahmad.

Alhamdulillah, kereta anak-anak tiba pada malam itu.

Amer bertanyakan tentang suatu soalan unit ukuran (km, m, cm, mm), walhal dia belum pernah diajar tentang tu. Umurnya saja baru 8 tahun.
Hafiz Abdullah diminta mengajarnya. Pada mulanya dia menolak kerana tidak yakin dan masih kurang faham, walau sudah diajar pagi tadi. Lalu Hafiz diminta membuang gula-gula dari mulutnya, minum air, membaca bismilah dan beruzlah memikirkan jawapannya. Dia diminta begitu kerana dia memang berakal tinggi dan berpotensi.
Alhamdulillah, dalam 15 minit dia menemui jawapannya dan boleh menghuraikan dengan betul.

No comments: