Friday, May 22, 2009

Diari 26 Jamadil Awal 1430


Awal pagi itu, para laskar bersahur dengan nasi dan ikan sardin.

Kediaman para laskar terputus bekalan elektrik selama hampir 2 jam mulai jam 2 petang. Tapi itu tidak menggugah mereka untuk terus belajar.

Ustaz Omar membacakan sebuah hadis dari Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda : Siapa yang ingin bertemu dengan Allah swt, Allah pun ingin bertemu dengannya. Dan siapa yang benci untuk bertemu Allah, Allah pun benci untuk bertemunya.

Prestasi Redhwan dan Alif dalam kemahiran membaca Bahasa Melayu meluncur dengan laju bagaikan roket, namun agak sukar bagi Saifullah dan Najmi. Semoga Allah membuka jalan.

Saat aku sedang mengambil wudhuk, Alif menegur dari belakang. “Abang, saya dah boleh baca muka surat ini,” katanya bersemangat, tersengih menampakkan gigi.

Hari ini seperti biasa, laskar-laskar terus mengisi setiap masa lapang walau hanya beberapa minit (seperti selepas makan, selepas solat sunat, selepas mandi) dengan membaca buku. Disini setiap hari adalah pesta buku. Aku sangat bersyukur.

Dalam kelas Bahasa Arab, aku cuba memberi ‘kunci’ dalam menguasai istilah-istilah nombor, mulai dari ‘rumah sa’ hinggalah ‘rumah puluh’. Sang genius, Lintang (Amir) mendapatnya dengan pantas. Aku memintanya beri penerangan dihadapan. Subhanallah, bakal cendiakawan Islam yang berakhlak kariimah berada dihadapanku.

Anak-anak saling bantu membantu dalam pelajaran al-Quran dan Bahasa Melayu. Aku tersenyum puas.

Aku meminta Ismail supaya tidak hanya membaca buku kanak-kanak sedangkan dia sudah berusia 15 tahun. Dia sepatutnya membaca buku yang lebih bermanfaat.

Cikgu Muzni datang memberi sumbangan yang dikutip isterinya di kelas-kelas pengajiannya. Jumlah sumbangan RM 200. Alhamdulillah.

Jiran disebelah rumah kami datang ziarah membawa nasi minyak yang banyak. Alhamdulillah, kami boleh berjimat kerana tidak perlu memasak atau keluar mencari lauk di kedai makan seperti kebiasannya. Ustaz Omar mengajar doa kepada kami untuk sang jiran : Allahumma barik lahum fiima razaktahum (Ya Allah, berkatilah bagi mereka apa yang Engkau rezekikan kepada mereka)

Jam 6.30, Ahmad terbatuk-batuk. Ketika itu para laskar sedang mengaji al-Quran. Tiba-tiba dia berlari ke arah tingkap tetapi tidak sempat, dia muntah diatas lantai. Kami kehairanan : Kenapa dengan dia ?
Anak-anak bekerjasama membersihkan muntah itu. Ada yang mengelap, ada yang mengambil air dengan cebok, ada yang membersihkan Ahmad, ada yang memberinya minum.
Ahmad kelihatan seperti pening-pening. Muntahnya hanyalah air jernih semata-mata. Anak kecil itu kemudian tidak mengeluh barang sedikit pun, malah sempat tersenyum-senyum sebelum kembali mengaji. Tiba-tiba dia termuntah lagi. Kata Ustaz Omar, mungkin kerana dia belum mampu untuk berpuasa, lalu diberikan roti dan air kosong. Tapi dia muntah lagi. Diberi pula nasi berlauk ikan sardin serta air kismis. Dia muntah lagi. Aku cemas, bersiap menghidupkan motor untuk membawanya ke klinik. Muka Ahmad mulai memucat. Dia baring dan tertidur keletihan.
Menurut Ustaz, tak perlu bawa ke klinik. Begitu juga menurut Ummi saat aku menghubunginya. Katanya, ketika masih bayi, Ahmad pernah terkena demam panas. Selain itu dia tiada penyakit lain. Dan rupa-rupanya, Ahmad diserahkan oleh ibu kandungnya sejak dia masih bayi kerana tidak mampu menyaranya.
Beberapa saat kemudian, Amir pula mengadu sakit perut, kelihatan sangat serius. Mungkin kerana gastrik, jadi dia disuruh berbuka puasa ketika itu juga. Alhamdulillah, sembuh serta merta.

Malam itu kami berbuka puasa dengan jus kismis. Dan setelah solat maqrib, kami menikmati nasi minyak dan jus mempelam.

10.10 malam. Ketika sedang membaca surah as-Sajdah, sunnah Rasulullah saw sebelum tidur, Najmi datang mengadu : keluar darah ketika dia membuang air besar. Faiz berada disampingnya cuba membantu apa saja yang terdaya.

Tika anak-anak sedang membaca surah al-Kahfi bersama Ustaz Omar diruang bilik tidur, aku membaca diruang tamu, mengawasi kalau-kalau ada tetamu.
Ahmad menyapaku dari belakang. Dia terjaga dari tidur. Aku mengajaknya tidur diatas bantal tempatku meletak al-Quran. Dia menurut, orang mengantuk disorong bantal. Aku menepuk-nepuk bahunya sambil menyambung bacaan al-Kahfi. Dia tertidur semula. Selesai membaca, aku tidur disebelahnya.
11.00 malam, aku terjaga mendengar keriuhan anak-anak berebut tempat apabila Fitri memasang cd cerita Rasulullah saw. Aku tidur semula. Jam 3 pagi, aku terjaga lagi, Ahmad tiada ditepiku, mungkin sudah dibawa keatas katil.

Hari ini 5 orang ahli Laskar Bintang tidak berpindah muka surat dalam kelas al-Quran dan Iqro’.

No comments: