Friday, June 19, 2009

Ajar kami


Entah salah makan apa, perut terasa sakit. Memulas-mulas. Badan rasa kebas dan sejuk.

Mungkin kerana roti ikan bilis yang dibeli disebuah kedai runcit.

Tak mungkin disebabkan makanan dirumah, kerana mulut ini mengunyah semua benda yang anak-anak kunyah, dan mereka pula sihat wal afiat semuanya, alhamdulillah.

Jadi petang itu terasa mahu berehat didalam kamar saja, sambil memujuk-mujuk perut agar tidak terus ‘buat hal’. Walhal ketika itu ada kelas tajwid.

Namun apa boleh buat, perut meragam, ditambah pula kami sekeluarga sedang berpuasa sunat Khamis, tanpa sempat sahur.

Sendi-sendi menjadi lemah seluruhnya. Namun tetap syukur kerana tandas berada didalam kamar tidur.

Tiba-tiba, pintu bilik diketuk.

“Assalamualaikum !” suara Najmi.
“Waalaikumussalam..”
“Assalamualaikum !” ulangnya lagi, kerana jawapan tadi kedengaran perlahan, lemah.

Kaki digagahkan melangkah kearah pintu. Tombol dipulas. “Waalaikumussalam warahmatullah.. Ada apa, Mi ?”

“Abang, ajar kami, bang..”
“Mana ustaz ?”
“Ustaz Ahmad nampak macam tak larat.. Ustaz Omar tengah ajar yang besar-besar..”
“Abang sakit perut..”
“Oo, sakit perut.. Tak apalah..” Dia pun beredar.

Hati merasa kasihan. Setelah berwudhuk dan solat zohor, ia berbisik pula, “sebagai tanda syukur engkau masih diberi kesempatan solat zohor, pergilah mengajar.. Setiap rasa sakitmu akan dibalas ganjaran yang besar di Sana..”

Setiba diruangan belajar, anak-anak ketika itu sedang membaca, mewarna, menyalin tulis buku. Amir dan Redhwan sedang bermain-main dengan pemadam.

“Mana pen marker ?” Sebaik mata melirik ke tempat letak di papan tulis, dan disitu hanya hanya ada pemadam.
“Biar saya pergi cari, bang..” tawar Najmi lalu terus berlegar sekeliling rumah.

“Abang sakit perut ke ?” tanya Ahmad, prihatin.

Subhanallah, sungguh suara halus itu sedikit sebanyak menghilang rasa sakit. Lunak, senang hati mendengarnya. Namun soalan itu hanya mampu dijawab dengan senyuman.

“Kenapa abang senyum macam tu ?” Dia turut tersenyum. “Uncle Jimmy yang beritahu, jadi saya tanyalah..”

Najmi kembali dengan sebatang marker berwarna merah, tapi tiada dakwat.

“Sekejap, bang,” dia meminta diri lalu mencari lagi. Dia kembali dengan beberapa batang pen pula pelbagai warna.

Masya Allah, tiada satu pun yang mempunyai dakwat. Bila dicuba, dakwat yang keluar hanya sedikit. “Macam ni boleh, bang ?” Najmi berharap.

Kepala menggeleng. Tidak cukup terang untuk tatapan semua.

Najmi mencuba yang lain. Tidak mahu berputus asa. “Yang ini boleh, bang ?” tanya Ahmad pula, cuba membantu.

Allah kemudian memberi ilham. Pelajaran tajwid kali itu harus ditulis dibuku salah seorang mereka, lalu yang lain akan menyalin.

Tapi buku siapa ? Ah, tentu saja buku tulis Najmi.

Kelas akhirnya berjalan seperti tak biasa.

No comments: