Bismillah..
Para Laskar diuji dengan sakit perut, memulas sejak 2 hari kelmarin. Entah salah makan apa : apakah mangga apel yang disedekah orang kampung sebelah, jemput-jemput yang dibancuh tepungnya oleh Fitri, lauk pauk yang diambil dari kedai. Hanya Allah yang tahu.
Tapi jangan bimbang, semakin sembuh. Saifullah, 7 tahun, saja yang terkadang merengek kesakitan sambil tersenyum, "Abang, sakit perut," mahu bermanja.
Abangnya, Khairul Anwar, 13 tahun, anggota laskar yang sebelum ini paling sering ketandas, hari ini kelihatan sedang tekun mencuba menyelesaikan masalah matematik. Seketika tadi, dia dan rakan-rakannya diajar perbualan dalam Bahasa Arab oleh Ustaz Ahmad, tenaga pengajar baru.
Apapun, penyakit ini tidak mematahkan semangat anak-anak untuk belajar. Masing-masing terus menatap buku diwaktu lapang, paling tidak mendengar teman-teman membaca.
Alif, 7 tahun, masih anak yang paling cergas, mengejar sang guru untuk bertanyakan sesuatu dari buku walau sang guru itu sedang sibuk. Maka diminta anak-anak 'dewasa' yang lain membantunya.
Saifullah memincing mata dari jauh. Lalu mencapai buku dan mencari Ahmad Hasan Albanna, 6 tahun yang ketika itu sedang berbaring mahu tidur.
"Ahmad, aku nak ajar engkau ni.."
Ahmad memandangnya kehairanan, sebelum berkalih arah.
Saifullah berjalan menghadapnya lagi. "Mari la aku ajar engkau. A, I U.. La, Li, Lu.."
Ahmad berpindah katil.
Saifullah bangun lagi duduk didepannya. "Isy, aku nak ajar engkau ni.."
Ahmad berpindah lagi.
"Abang, tengok Ahmad, saya nak ajar dia, tapi dia tak mahu.."
Hanya senyuman yang dapat terukir. Dan Saifullah belum berputus asa.
*Dia tertular semangat mengajar, bukan semangat belajar : ) walau dia pun masih 'merangkak-rangkak'.
No comments:
Post a Comment