Friday, June 26, 2009

Mandikan pokok

Tangan ini ingin menulis tentang aktiviti berkebun anak-anak.

Berkebun adalah antara aktiviti kegemaran mereka, lebih-lebih lagi pada waktu pagi.

Mungkin mereka suka dengan udara segar dan pancaran matahari ketika baru hendak memanas.

Sungguh, memang enak merasai kedua-dua anugerah Tuhan itu.

Bermula jam 7.30 selepas mengaji.

Saat Ustaz Omar menyebut ‘tasbiiih’ (tanda selesai kelas) anak-anak akan melompat berebut cangkul, pencakar dan penyiram air.

Hudaibi dan Alif pun mula mencakar daun kering bawah pokok nangka.

Amir dan Syafiq kemudian memungut daun-daun itu lalu membawa ke tempat pembakaran sampah.

Najmi dan Fadhli menyiram satu persatu pokok.

Zakwan dan adiknya Fadhil membelek daun-daun, mencari ulat.

Ahmad pula mundar-mandir seperti seorang penyelia, bingung hendak berbuat apa.

Fitri datang kearah sebatang anak pokok rambutan, membawa baja. Faiz sudah menunggu disana.

Setelah merumput, barulah mereka membaja. Kemudian Faiz mula menyiram, dicurahnya perlahan-lahan.

Setelah itu, tangannya dicelup kedalam air lalu mengelap batang anak pokok itu, perlahan-lahan, sambil mengikis ‘kulat-kulat’ yang ada.

“Enta buat apa tu ?”

Dia sekadar tersenyum. Tangan dicelup lagi sebelum mengelap pula daun satu persatu. Fitri ikut membantu.

Isy, aneh.. Tak pernah dibuat orang..

“Pokok minum melalui akar.. Daun, fungsi dia menyerap cahaya – dipanggil proses fotosentisis.. Jadi tak perlu bagi daun kena air pun tak pa..”

“Saja ja bang, saya sayang pokok ni..”

No comments: