Menghadapi anak yang menangis tidak selalunya mudah.
Apatah lagi anak seperti Faiz bin Mespan, 11 tahun.
Laskar yang sebelum ini sentiasa tersenyum, ceria dan ramah, pada pagi ini 'mendung berhujan'.
Kanan kiri tangannya menghidapi kudis. Rasa berdenyut-denyut, katanya.
Sedih melihat dia menahan sakit sewaktu disapu ubat.
"Sabar Faiz, ada pasai la Allah bagi kena kudis ni," dia dipujuk.
Dia tak mahu sarapan, menangis di pojok katil seorang diri.
"Faiz, marilah makan," Najmi mendekatinya, berhenti dari makan.
Para laskar tidak bersarapan dengan 'riang' seperti kebiasaan, kasihan dengan teman mereka itu.
Petang kelmarin, 'teruk' dia kena marah. "Kenapa enta tak cakap ?"
Dia sekadar tersenyum.
"Enta kena bagitau awal-awal ! Ni dah teruk macam ni, mujur ada orang perasan ! Habis macam mana enta makan ?"
Tersenyum lagi.
"Kalau tak mahu menyusahkan orang lain pun, janganlah sampai macam ni.. Rasulullah sendiri suruh kita berubat kalau sakit.."
Pagi ini dia sekadar mahu menangis semahu-mahunya. Sekadar mahu menangis, tidak mahu berehat dari mengaji.
"Dah, enta pi baring atas katil.." saranan setelah diberi makan ubat.
"Saya nak mengaji.." Dia beredar teresak-esak ( mungkin menahan sakit) duduk menghadap mushaf al-Qurannya disebelah Rafik.
Aneh..
"Redhwan, Alif, Amir.. Mai makan ubat.."
*"Berjangkit-jangkit ni," kata doktor semalam. "Asingkan baju yang nak dibasuh, bagi cahaya banyak masuk dalam rumah, jemur tilam, bantal dan tuala.."
*Alhamdulillah para laskar selamat kembali ke Darul Ummah pada jam 6 pagi kelmarin. Di Kuala Lumpur, mereka mendapat layanan bagai anak raja - banyak makan, banyak hadiah, banyak jalan-jalan.
Tapi mengaji tetap mengaji, alhamdulillah tanpa perlu disuruh, mungkin kerana sudah terbiasa belajar sepenuh masa. Ummi dan Abuya seperti kehairanan.
Amir laskar yang banyak membaca buku, Ismail pula belajar-belajar membaca kitab yang tersusum panjang di rumah Ummi.
No comments:
Post a Comment